Apabila tiba musim perayaan ataupun cuti-cuti panjang sudah tentu ramai yang akan pulang ke kampung halaman atau melancong. Tidak kiralah dekat atau jauh destinasi yang ingin dituju, pastikan kediaman anda berada dalam keadaan selamat.
Di dalam artikel ini, terdapat beberapa tips ringkas untuk menghindari perkara yang tidak diingini sepanjang kita berada di kampung atau pergi bercuti.
KUNCI PINTU DAN TINGKAP
Bagi mengelakkan kecurian, kita mestilah memastikan setiap tingkap dan pintu dikunci dengan mangga kunci yang tidak mudah dipecah atau diumpil. Pastikan alat keselamatan tambahan seperti rantai dengan mangga kunci dipasang di tempat yang kemungkinan mudah dipecah masuk seperti pintu pagar hadapan dan belakang termasuk juga pintu besi hadapan dan belakang rumah.
NYALAKAN LAMPU DI SEKELILING RUMAH
Pastikan lampu di sekeliling rumah dipasang mulai jam 6.00 petang hingga 7.00 pagi (menggunakan auto timer jika ada) setiap hari. Pastikan alat penggera dipasang dan berfungsi dengan baik.
PASANG ALAT KESELAMATAN TAMBAHAN
Pastikan alat keselamatan tambahan seperti rantai dengan mangga (padlock) yang dipasang di tempat yang dianggap mudah dipecah masuk seperti pintu pagar hadapan dan belakang, pintu besi (grill) hadapan dan belakang rumah. Alat tersebut harus dipasang sebelum meninggalkan rumah.
Kamera litar tertutup (CCTV) juga boleh dipasang dirumah. Ini untuk mengelakkan berlakunya sebarang pencerobohan ketika kita tiada dirumah. CCTV ini juga boleh dipantau menggunakan aplikasi di telefon pintar.
MAKLUMKAN KEPADA JIRAN
Kita juga perlu memaklumkan kepada jiran tetangga supaya memerhatikan keadaan rumah sepanjang tempoh bercuti. Berikan juga nombor telefon yang mudah dihubungi. Jika berlaku sesuatu mereka boleh menghubungi kita secepat mungkin.
SIMPAN ALAT-ALAT MUDAH TERBAKAR
Pastikan juga alat-alat mudah terbakar seperti tong gas, kerosin dan mancis disimpan di tempat yang selamat. Sebaik-baiknya kepala tong gas ini hendaklah ditutup. Ini juga bertujuan mengelakkan kemungkinan berlakunya kebakaran. Keprihatinan terhadap keselamatan bahan-bahan mudah terbakar ini boleh mengelakkan kita daripada kerugian.
Dengan perancangan yang betul, kita tidak perlu bimbang tentang keselamatan rumah apabila pulang bercuti ke kampung atau melancong ke mana-mana . Malah melalui langkah-langkah yang diambil ini akan membuatkan percutian kita akan lebih selesa dan tenteram.
Comments