Sebut sahaja tentang topik pindah rumah, pasti ramai yang mengeluh memikirkan tentang proses-proses yang bakal dilalui.
Memang tidak dinafikan, daripada perkara-perkara besar seperti mengemas pakaian, mencari rumah yang sesuai, kos sewa pengangkutan sehinggalah ke sekecil-kecil perkara. Tetapi, jika proses pindah rumah ini dirancang dengan baik dan tertatur, anda tidak perlu bersusah payah.
1. Kemas barang besar dahulu
Bagi mereka yang sudah pakar dalam proses pindah rumah, taktik ini dikenali sebagai taktik visual. Caranya adalah, kemas barang-barang besar seperti peti ais, televisyen, katil, tilam dan sebagainya. Kenapa? Supaya anda tidak perlu rimas dan pening melihat terlampau banyak barangan yang ingin dikemas. Semakin kurang barang yang anda nampak, semakin lapang fikiran dan semakin cepat proses perpindahan ke rumah baru.
2. Gunakan kotak besar
Pastikan proses perpindahan anda dalam keadaan yang tersusun. Gunakan kotak-kotak
besar seperti kotak televisyen atau kotak mesin basuh. Selain daripada menyimpan barang, ia juga boleh dipakai buang dengan begitu mudah. Tambahan pula, anda boleh labelkan kotak-kotak ini mengikut jenis barang supaya tidak risau berlaku barang hilang setiap kali berpindah.
3. Gunakan servis lori ataupun pengangkut
Jimatkan tenaga dan pindah dengan lebih efektif. Jikalau anda tiada kenderaan pacuan empat roda, van atau MPV, gunakan perkhidmatan lori dan pengangkut. Caj yang dikenakan adalah mengikut jarak dan upah pekerja. Anda boleh menjimatkan lebih masa dan tenaga. Bagi yang tinggal di rumah jenis kondominium, kadangkala lebih berbaloi membayar upah lebih untuk pekerja mengangkat barangan anda. Ingin lebih mudah, kemas dan tersusun, letak semua barang anda di lobi terlebih dahulu.
4. TNB, Syabas, pengurusan kediaman dan tuan tanah
Sebelum berpindah, pastikan anda periksa empat perkara ini. Selesaikan semua bil eletrik, bil air atau apa-apa bil yang perlu dibayar. Mudahkan proses mengembalikan rumah kepada tuan rumah supaya tidak perlu menghadapi penolakan deposit atau masalah-masalah lain.
Bagi mereka yang berpindah dari apartmen servis, silalah bertanggungjawab. Pulangkan semua kad akses lobi dan kad parkir kenderaan yang anda miliki.
"Rumah, tempat di bumi yang sangat diberkati. Tempat yang lebih berharga dan lebih manis dari yang lainnya." - Robert Montgomery
5. Perkhidmatan internet dan televisyen
Ini adalah antara perkara penting yang perlu diberi perhatian. Hubungi pembekal internet anda seperti Astro, Unifi dan lain-lain dan maklumkan yang anda ingin berpindah. Selalunya, tiada sebarang caj untuk memindahkan servis ini, jadi anda tidak perlu runsing.
6. Maklumkan kepada tuan rumah anda
Sebelum berpindah, amatlah penting untuk anda memaklumkan kepada tuan rumah yang anda akan berpindah. Mengikut kebiasaan, tuan rumah akan menghubungi anda tiga atau empat bulan sebelum kontrak perjanjian tamat.
Tambahan pula, ketika inilah tuan rumah akan membuat penilaian rumah, menamatkan kontrak dan memulangkan semula deposit anda. Mereka juga akan gembira jika anda memberi mereka masa untuk mencari penyewa baru.
7. Ambil cuti yang mencukupi
Anda memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga hari cuti untuk menyelesaikan proses pindah rumah. Bagi yang menyewa di apartmen servis pula, anda perlu mengambil cuti kerana kebiasaannya pihak pengurusan apartmen tidak membenarkan anda memindahkan barang dan lori pindah juga tidak dibenarkan beroperasi semasa hujung minggu.
Ini juga penting supaya anda tidak kepenatan dan mempunyai masa untuk mengemas barang-barang yang telah dipindah masuk ke rumah baru.
8. Hari anda berpindah dari rumah
Nampaknya proses perpindahan rumah anda hampir selesai. Apabila tiba hari yang ditunggu-tunggu ini, pastikan anda keluar dalam keadaan yang bersih. Buang semua sampah yang ada dan tampal semua lubang atau apa-apa ubahsuai yang anda lakukan pada rumah berkenaan. Tuan rumah anda senang hati dan anda juga dapat berpindah tanpa ragu-ragu.
Sebelum keluar, pastikan anda melakukan pemeriksaan terakhir. Pastikan tiada barang tertinggal, matikan semua suis eletrik dan kunci rumah sebelum memulangkan kunci kepada tuan rumah.
Comments